KLUANG – Masalah bekalan air bersih di beberapa jalan sekitar Taman Kota Paloh di sini didakwa terus berlarutan sehingga kini dan masih tiada penyelesaian.
Pengerusi Jawatankuasa Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Johor, Dr S Saswin berkata, masalah itu sudah sering disuarakan penduduk yang bimbang dan kecewa kerana menyifatkan nasib mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Sampai bila rakyat Paloh perlu menanggung masalah ini? Bagi mereka yang berkemampuan boleh memasang sistem penapis air yang mahal.
“Namun bagaimana pula dengan golongan B40 dan keluarga yang kurang berkemampuan? Mereka terpaksa menapis, masak air dan menggunakan air yang diragui kebersihannya setiap hari untuk kegunaan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan sama ada keadaan tersebut adil untuk penduduk Paloh.
Katanya, lebih mengecewakan, masalah itu bukan isu baharu tetapi sudah berlarutan sejak sekian lama dan masih belum mendapat penyelesaian yang memuaskan.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, apakah tindakan yang telah diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh bagi memastikan isu asas yang melibatkan kebajikan dan kesihatan rakyat ini diselesaikan?
“Kita sering mendengar tentang pelbagai pengumuman pelaburan bernilai berbilion ringgit ke negeri Johor. Namun apakah manfaatnya jika masalah asas seperti bekalan air bersih di kawasan sendiri masih gagal diselesaikan,” soalnya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan kepada pihak pengurusan syarikat air Johor dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan terperinci.
Jelasnya, pertemuan tersebut juga bagi mendesak agar tindakan segera diambil untuk menyelesaikannya.
“Rakyat Paloh berhak mendapat bekalan air yang bersih, selamat dan berkualiti. Ini bukan satu kemewahan, tetapi hak asas setiap rakyat,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















