Satu unit tangki mengandungi bahan kimia dalam kilang di Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dikesan mengalami kebocoran semalam.

PASIR GUDANG – Kebocoran tangki mengandungi bahan kimia di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Pasir Gudang tidak dikesan sebarang gas beracun yang boleh membahayakan nyawa penduduk.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ismail berkata, siasatan mendapati kebocoran bahan kimia berlaku di bahagian bawah tangki Intermediate Bulk Container (IBC).

“Kandungannya dipercayai asid nitrik (nitric acid) dengan anggaran kuantiti sebanyak 100 liter,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan pengesanan di lokasi menggunakan peralatan khas mendapati kawasan terbabit tidak menunjukkan sebarang kehadiran gas beracun dan bacaan kualiti udara yang normal.

Menurutnya, anggota bomba bertindak menjalankan operasi bersama-sama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan memantau keadaan di lokasi kejadian.

Katanya, bahan kimia terbabit dipindahkan oleh pihak syarikat ke dalam sistem ‘scrubber’ bagi mengelakkan bahan terbabit merebak ke udara.

“Sampel bahan kimia juga diambil untuk tujuan pengujian dan analisis lanjut,” katanya lagi

Terdahulu portal ini melaporkan bomba Johor menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu 11.59 pagi.

Kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi dan menghasilkan asap bewarna oren yang boleh dilihat dari jauh sehingga menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri mencemarkan udara.

Susulan itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tujuh anggota unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke tempat kejadian.

Keadaan terkawal pada pukul 12.45 tengah hari dan tamat pada pukul 3.47 petang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata, setakat ini tiada laporan menyatakan kejadian membawa kemudaratan kepada orang awam.

“Susulan kejadian pelepasan gas berwarna oren, pihak JAS sedang membuat pemantauan di dua lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan sensitif iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3 bagi memantau kualiti udara.

“Setakat ini, bacaan kualiti udara di kawasan terbabit tidak menunjukkan apa-apa bacaan luar biasa,” katanya ketika dihubungi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast