KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan agar mematuhi peraturan dan etika kempen susulan pengumuman tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik dan bebas bagi menjamin perjalanan pilihan raya di kedua-dua negeri itu.
“Sekarang bila sudah mula kempen, saya harap dapat dijaga dan SPR menjalankan tanggungjawab dengan baik serta bebas.
“Tadi sempat juga saya berbicara dengan kawan-kawan selepas mesyuarat Jemaah Menteri supaya menjaga peraturan dan menghormati etika kempen,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah Sentul di sini hari ini.
Ia diikuti pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi pada 4 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun ini manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai ini.
Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN Johor ialah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang dikemas kini setakat 31 Mei lalu.
Katanya, DPPR Johor mengandungi 2.73 juta pemilih yang terdiri daripada 2.70 juta pengundi biasa, 12,041 anggota tentera serta pasangan dan 12,710 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Bagi Negeri Sembilan pula, DPPR yang digunakan ialah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang dikemas kini setakat 4 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















