JOHOR BAHRU – Kelewatan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menempatkan pelarian khususnya etnik Rohingya ke negara ketiga menyebabkan berlaku lambakan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan menempatkan mereka ke negara ketiga jauh lebih kecil berbanding jumlah kad yang dikeluarkan oleh UNHCR.
“Pelarian tidak sama dengan PATI (pendatang asing tanpa izin), mereka berada dalam kategori berbeza kerana terdapat konflik di negara asal mereka. Ada push factor di negara asal dan ada pull factor di negara kita.
“Dalam ekosistem pengurusan pelarian, UNHCR bertanggungjawab mengurus penempatan mereka. Masalahnya, kejayaan menempatkan mereka ke negara ketiga jauh lebih kecil berbanding jumlah kad yang dikeluarkan oleh UNHCR.
“Akibatnya, sementara menunggu penempatan itu, pelarian berada dalam masyarakat kita. Itulah fenomena yang sedang kita hadapi sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa, di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan terdapat 128,200 pelarian etnik Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat April lalu.
Mereka adalah daripada jumlah 219,472 pemegang kad UNCHR di manakala 197,591 adalah warga Myanmar.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pelarian Rohingya di Malaysia dijangka melebihi angka tersebut memandangkan masih ada yang tidak berdaftar dengan agensi tersebut.
Tambah Saifuddin Nasution, kerajaan kini sedang melaksanakan pengumpulan data berkaitan pelarian di dalam negara bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Oleh itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu pelarian perlu diuruskan mengikut prinsip kemanusiaan sementara menunggu penyelesaian yang diambil.
Pihaknya turut mengalu-alukan masyarakat termasuk ahli akademik, aktivis sosial atau individu yang mempunyai kepakaran tertentu untuk mengemukakan pandangan berhubung perkara tersebut.
Tegasnya, beliau menolak gambaran seolah-olah kebanjiran pelarian itu hanya berlaku dalam tempoh tiga tahun Kerajaan Madani memerintah.
“Ini adalah isu legasi yang telah berlaku sejak sekian lama. Perbuatan melonggokkan semua kesalahan kepada government of the day adalah tidak wajar pada saya.
“Namun, jika mereka tampil dengan cadangan yang konstruktif, kerajaan sentiasa bersedia mempertimbangkannya.
“Pada masa yang sama, kerajaan perlu menguruskan perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab sebuah kerajaan. Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengambil kira pertimbangan kemanusiaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















