Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (hadapan, tengah) dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (hadapan, tiga kiri), beramah mesra bersama penerima Biasiswa Anak e-Kasih (BAeK) PTPTN, Muhammad Amar Khoo Arif Khoo, 21 (dua kanan) dan Alin Nairen Wong Mohd Allif Wong, 20 (dua kiri), pada Sesi Penyerahan Biasiswa Anak e-Kasih PTPTN di Kulai, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 13 JUN 2026.

KULAI – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menafikan tuduhan kerajaan tidak prihatin terhadap nasib golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran mereka ke universiti awam (UA).

Beliau menjelaskan, kementeriannya tidak meminggirkan mana-mana pelajar institusi yang layak memohon pinjaman, malah banyak inisiatif disediakan untuk mereka.

“Ini bermakna tidak ada isu sebenarnya, walaupun ada pihak tertentu yang cuba bermain dengan isu kononnya kerajaan tidak prihatin terhadap nasib golongan B40 yang berada dalam kategori E-Kasih itu.

“Sebenarnya (tuduhan itu) adalah tidak benar. Tapi tak apalah, biarlah bagi mereka yang nak bermain dengan politik, dia akan bermain dengan politik. Dia akan mengulas itu, mengulas ini.

“Jadi, kita sebenarnya lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha kita ini kerana usaha-usaha ini sangat penting kerana keberadaan pelajar-pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas sesi penyerahan biasiswa anak e-Kasih PTPTN (BAeK PTPTN) di Taman Puteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan berusaha dan memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi yang berkenaan dengan cara memohon selain senarai diperoleh daripada senarai e-Kasih.

“Maksudnya apabila sebuah keluarga itu berada dalam e-Kasih, maka dengan sendirinya dia masuk secara secara automatik. Itu satu (cara).

“Namun, kita tidak boleh hanya semata-mata bersandarkan kepada dalam kategori itu. Ada juga yang mungkin daripada keluarga yang sangat susah,” katanya.

Sebagai contoh katanya, dengan pendapatan ahli keluarga mungkin berada dalam lingkungan RM2,000 atau RM3,000 dengan mempunyai anak yang ramai, mereka perlu membuat permohonan.

Selain itu kata beliau, kementeriannya akan memastikan pihak pengurusan universiti mengenal pasti pelajar mereka yang memerlukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jelasnya, apabila mengetahui pelajar daripada golongan susah yang memerlukan pinjaman, pihak universiti akan mencari untuk membantu mereka.

Zambry berkata, selain PTPTN yang menyediakan pinjaman, Yayasan Perkasa Siswa juga boleh membantu.

“Jadi, saya nak beritahu kepada pelajar-pelajar kita, kalau mereka menghadapi masalah itu, mungkin sekiranya pihak universiti atau pihak mana sekalipun yang tidak dapat kenal pasti mereka, mereka boleh datang untuk memaklumkan kepada kita dan kita akan membantu mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast