KOTA TINGGI – Malaysia sedang meneliti kemungkinan untuk meneruskan penyertaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu sedang dibincangkan bersama-sama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di negara berkenaan akibat konflik berterusan melibatkan Israel.
“Sebelum ini Malaysia menjangka akan membawa pulang semua anggota MALBATT apabila mandat UNIFIL tamat pada Disember ini.
“Pada asalnya, apabila mandat berakhir pada penghujung tahun ini, proses yang dirancang adalah membawa pulang anggota dan menamatkan penglibatan dalam pasukan itu.
“Bagaimanapun, serangan berterusan Israel menyebabkan timbul persoalan sama ada pasukan pengaman PBB perlu diteruskan di Lubnan bagi mengelakkan keadaan keselamatan di negara itu menjadi lebih buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Program Jiwa Murni (PJM) Madani Kementah Sekolah Kebangsaan (SK) Johor Kampong di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia turut menekankan keperluan meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota pengaman negara memandangkan risiko tugasan kini semakin tinggi.
Tegas beliau, peranan pasukan pengaman kini semakin mencabar apabila mereka bukan sahaja menjalankan tugas pemantauan keamanan, malah berdepan risiko berada di kawasan konflik peperangan.
Mengulas kecederaan seorang anggota Batalion Malaysia (MALBATT) baru-baru ini, beliau berkata, anggota terbabit hanya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan letupan.
“Kecederaan yang dialami tidak serius dan rawatan telah diberikan di Lubnan kerana pasukan kita mempunyai kemudahan perubatan sendiri di sana,” katanya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Mohamed Khaled menyerahkan bantuan ketika dalam Majlis Perasmian Program Jiwa Murni (PJM) Madani Kementah Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, Kota Tinggi hari ini.
















