KOTA TINGGI – Pertahanan negara bukan hak eksklusif Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebaliknya kata beliau, tanggungjawab itu memerlukan penglibatan menyeluruh rakyat untuk berdepan ancaman kompleks seperti serangan siber, hibrid dan peperangan kognitif.
“Kedudukan Malaysia di kawasan strategik termasuk Laut China Selatan yang menjadi kawasan tuntutan bertindih serta persaingan kuasa besar dunia menuntut kesiapsiagaan menyeluruh negara.
“Kawasan Laut Cina Selatan sebagai satu kawasan adu kuasa antara kuasa-kuasa besar dan kemudian kita juga ada ancaman keselamatan seperti perdagangan manusia, penyeludupan dan sebagainya di tempatan kita.
“Ini termasuk di perairan-perairan kita, ancaman daripada Sulu. Jadi, tak boleh diserah semua kepada Alangkatan tentera, rakyat boleh memainkan peranan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni (PJM) Madani Kementah Sekolah Kebangsaan Johor Kampong di sini hari ini.
Justeru katanya, masyarakat diseru untuk memainkan peranan melalui semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta tidak mudah terpengaruh dengan hasutan, berita palsu dan persepsi yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Tambahnya, usaha memperkasa pertahanan menyeluruh turut dilaksanakan menerusi hubungan lebih rapat antara ATM dan masyarakat.
Jelasnya, ini bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan masing-masing dalam soal keselamatan negara.
Semenantara itu, beliau memberitahu, bagi fasa pertama PJM, sebanyak RM2.9 juta daripada RM6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 57 projek di seluruh negara.
Daripada jumlah itu ujanya, RM158,000 diperuntukkan untuk Parlimen Kota Tinggi bagi melaksanakan kerja membaik pulih dan menyelenggara Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, Johor Lama; Masjid Al Ehsan Felda Pasak dan Tanah Perkuburan Islam Sedili Besar.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Mohamed Khaled merakam kenangan dalam Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Madani Kementah Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, Kota Tinggi hari ini.
















