Mohamed Khaled Nordin ketika melakukan lawatan kerja ke Rejimen Keempat Artileri Diraja Kem Segamat, di Segamat hari ini.

SEGAMAT – Kementerian Pertahanan (Mindef) terus memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi keseimbangan antara pemodenan aset pertahanan dan pemeliharaan kebajikan anggota.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua aspek itu perlu sentiasa berada pada tahap terbaik bagi memastikan keupayaan pertahanan negara terus diperkasakan.

“Daripada sudut aset, Mindef sentiasa menilai keperluan pemilikan peralatan baharu, moden serta memastikan aset sedia ada seperti meriam artileri, kapal, pesawat serta dron diselenggara dengan baik bagi menjamin tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Dalam soal menjaga pertahanan negara, kita perlu melihat kepada aset dan anggota. Kedua-duanya perlu sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Menteri Pertahanan ke Rejimen Ke-4 Artileri Diraja di Kem Segamat di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, selain kekuatan aset, anggota ATM juga perlu memiliki sikap, kesetiaan, keberanian serta semangat berpasukan yang tinggi bagi melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.

Pada masa sama, beliau menegaskan aspek kesejahteraan anggota tidak boleh dipinggirkan kerana ia memberi kesan langsung terhadap fokus dan ketenangan mereka ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, isu seperti keadaan perumahan, keselamatan keluarga, pendidikan anak-anak dan kedudukan kewangan boleh menjejaskan prestasi anggota sekiranya tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Jika soal kesejahteraan tidak dijaga, ia boleh menjejaskan mental, tumpuan dan ketenangan anggota dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata, atas sebab itu kementerian bukan sahaja memberi fokus kepada perolehan peralatan dan kesiapsiagaan operasi, malah turut memberikan perhatian besar terhadap kebajikan warga ATM.

Tambah beliau, pendekatan tersebut selaras dengan hasrat yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, dengan kementerian kini menterjemahkan pelaksanaannya melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan peruntukan bagi meningkatkan kesejahteraan anggota. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast