KULAI – Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas dua kenderaan di Jalan Lestari Hijau 1, Taman Lestari Hijau, di sini malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.36 malam.
Susulan itu katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Pekan Nenas dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mereka dibantu dua jentera fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang jaraknya kira-kira 16 kilometer.

“Nahas berkenaan melibatkan sebuah treler dan Proton X70 dinaiki lima mangsa dengan dua daripadanya ditemui terperangkap dalam kenderaan itu.
“Pasukan kemudian segera membawa keluar mangsa terbabit iaitu wanita dewasa, Liew Ping berusia 36 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkaata, tiga lagi mangsa cedera parah dan dihantar ke hospital manakala pemandu treler terbabit selamat.
Tambah beliau, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada pukul 10.15 malam.- MalaysiaGazette
















