KLUANG – Hasrat seorang pesara tentera untuk melihat anaknya mengikut jejak langkahnya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya menjadi kenyataan apabila Prebat Siti Khadijah Sungip, 24, diterima menyertai perkhidmatan Tentera Darat tahun lalu.
Bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila anak bongsu daripada tujuh beradik itu terkorban dalam insiden letupan ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam.
Kakaknya, Siti Zaiha, berkata, Allahyarham merupakan graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Batu Pahat dalam jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).
“Bapa kami Sungip Jais, 65, merupakan bekas tentera darat. Dia kata, kalau ada peluang untuk kerjaya itu, boleh cuba. Arwah pun cuba dan akhirnya diterima masuk tentera darat.
“Arwah seorang yang sangat kuat dan dianugerah sebagai Prajurit Muda Wanita Akademik Terbaik siri ke-50. Kemudian diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Darat (RAJD),” katanya ketika ditemui di Taman Sri Lambak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Zaiha memberitahu, sekeping gambar yang dikongsi adiknya kepada keluarga pada tengah malam sebelum tragedi meragut nyawanya menjadi kenangan terakhir yang paling berharga buat mereka.
“Arwah sempat memaklumkan akan mengikuti latihan berkaitan bom tangan selepas beberapa hari menjalani latihan lain bersama rakan-rakan setugas.
“Arwah seperti biasa berhubung dengan kami dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan maklumkan dia sedang mengikuti latihan selama lapan hari termasuk menembak dan membaling bom tangan.
“Malam sebelum kejadian itu, ada gambar ketika dalam latihan yang dikongsinya,” katanya.
Siti Zaiha yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang berkata, kali terakhir adiknya pulang ke rumah adalah selama dua hari, iaitu kira-kira seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.
Jelasnya, kali terakhir adik berhubung dengan keluarga menerusi kumpulan Whatsapp keluarga pada pagi hari kejadian, memaklumkan tentang lokasi latihan.
“Adik beritahu yang dia berada dalam kumpulan terakhir bagi latihan membaling bom tangan.
“Kami pesan hati-hati dan dengar arahan jurulatih dengan teliti dan fokus,” ujarnya lagi.
Namun begitu, keluarga menerima perkhabaran mengenai Siti Khadijah terbabit dalam kemalangan ketika latihan.
“Berita itu disampaikan oleh ayahnya yang sebelum itu terima panggilan oleh seorang pegawai tentera yang bertugas. Memandangkan maklumat itu tidak jelas, saya minta ayah berikan nombor telefon pegawai itu.
“Kemudian pegawai itu beritahu adik saya sudah tiada pada kira-kira jam 12 tengah hari ketika latihan membaling bom,” katanya.- MalaysiaGazette
















