Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

PONTIAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM3,000 terhadap sebuah restoran atas tuduhan menjual makanan iaitu nasi beriani yang tercemar dengan mikroorganisma patogenik, empat bulan lalu.

Majistret Nurhafizah Haron membuat keputusan itu selepas pengakuan bersalah oleh wakil restoran berkenaan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan restoran itu selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, OKS didapati telah menjual makanan iaitu nasi beriani kepada seorang pelanggan yang mana selepas dianalisis di makmal, didapati bahawa nasi beriani yang dijual mengandungi Coagulase Positive Staphylococci iaitu sejenis mikroorganisma patogenik.

Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah restoran di daerah ini, pukul 4.30 petang, 25 Februari lalu, pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohamad Shah Mustapha.

Difahamkan, denda yang dikenakan ke atas OKS sudah dijelaskan, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua pengusaha makanan supaya sentiasa memastikan penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi menjamin keselamatan makanan serta melindungi kesihatan pengguna.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang awam adalah selamat, bersih dan mematuhi kehendak perundangan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast