Gambar hiasan

LANGKAWI – Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 2019 selepas meninggalkan kediaman keluarganya di Johor Bahru ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Taman Helang Perdana, Kuah, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman berkata, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai Kuah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati rumah itu didiami seorang wanita berusia 21 tahun bersama seorang anak.

“Semakan lanjut berdasarkan rekod orang hilang mendapati wanita berkenaan masih dilaporkan hilang susulan laporan polis yang dibuat di Majidee, Johor pada 2019.

“Wanita itu mengaku keluar meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum menetap di Langkawi,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, wanita terbabit turut memaklumkan bahawa dia telah berkahwin dengan seorang warga asing, namun suaminya tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Kita telah memaklumkan penemuan wanita berkenaan kepada keluarganya,” katanya.

Kisah penemuan wanita itu turut tular menerusi media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast