LAYANG-LAYANG – Hari penamaan calon bagi DUN N27 Layang-Layang hari ini menyaksikan solidariti luar biasa dalam kalangan barisan pemimpin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari pelbagai negeri yang turun padang bagi memperkukuh jentera Pakatan Harapan (PH) dalam usaha memenangkan calon mereka, Guna Balakrishnan.
Kehadiran Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan bersama ‘angkatan besar’ pemimpin dari Perak termasuk dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Mohd Azlan Helmi (ADUN Tualang Sekah) dan Sandrea Ng Shy Ching (ADUN Teja), serta ADUN Hutan Melintang, S. Vasanthi, menyemarakkan lagi semangat jentera PH di kawasan berkenaan.
Ramanan ketika ditemui berkata, komitmen tinggi oleh wakil rakyat PKR dari Perak dan Selangor itu amat penting bagi memastikan setiap gerak kerja jentera berjalan dengan teratur dan tanpa sebarang kelemahan sepanjang tempoh berkempen.
“Semua persiapan telah kita semak dua, tiga malah empat kali. Ini kerana mereka yang hadir di sini, termasuk dari Perak, merupakan individu berpengalaman yang pernah bertanding dan memahami selok-belok pilihan raya.
“Kita mahu memastikan semua urusan berjalan dengan baik. Malah, jumlah penyokong yang hadir hari ini dilihat hampir tiga kali ganda berbanding Barisan Nasional (BN),” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau dalam masa sama optimis bahawa kerusi N27 Layang-Layang mampu dimenangi PH pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, ADUN Hutan Melintang, S. Vasanthi menyifatkan hari penamaan calon tersebut sebagai detik penting buat PH di kawasan berkenaan, berdasarkan kehadiran jentera luar yang begitu agresif.
“Sokongan padu daripada pimpinan dan jentera ini menjadi petanda awal bahawa PH mampu melakar kemenangan besar di DUN Layang-Layang. Semangat ‘Lawan Tetap Lawan’ terus membara demi memastikan kemenangan saudara Guna Balakrishnan,” katanya.
Exco Perak, Mohd Azlan Helmi pula menyeru pengundi di Layang-Layang menterjemahkan sokongan kepada calon PH bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan di peringkat negeri dan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kehadiran wakil PH di peringkat lokal amat penting untuk menyelaras agenda pembangunan serta menyelesaikan isu rakyat setempat,” katanya.
Sementara itu, Sandrea berkata, kelancaran proses penamaan calon hari ini dengan sokongan padu pimpinan PKR Perak memberi suntikan moral yang besar kepada jentera PH.
“PH kini berada dalam kesiapsiagaan penuh di semua kerusi melalui kerjasama erat parti komponen, dan bersedia memanfaatkan tempoh kempen ini untuk meyakinkan pengundi melalui dasar-dasar progresif yang dibawa,” katanya.
Pilihan raya DUN N27 Layang-Layang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Guna Balakrishnan (PH), penyandang Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu) dan Chua Jian Boon (BN). – MalaysiaGazette
















