KLANG – Kerajaan merancang membangunkan tapak lapang yang terletak sekitar atau berhampiran kawasan perkhidmatan kemudahan tren seperti Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai projek perumahan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia antara langkah yang dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus mengoptimumkan perkhidmatan itu selain membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Beliau juga percaya, usaha itu juga dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan kos sara hidup selain menyumbang kepada pengurangan karbon.
“Saya tertarik dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa kawasan luas seperti itu, kita tengok parkir besar perlu dimanfaatkan.
“Di Kuala Lumpur, sudah ada rancangan kawasan mana stesen MRT besar patut dibangunkan di situ, tertakluk syarat ketat pembangunan kawasan itu. Kawasan itu dinaikkan, parkir cukup, perumahan rakyat.
“Saya tak fikir perumahan lima bintang, tentunya kedai-kedai tingkat sederhana, rendah untuk manfaat rakyat.
“Laluan (Shah Alam) ini antara paling sesak dalam negara. Kemudian bila sesak pelepasan karbon tinggi. Bila sesak maknanya tempoh ambil masa, minyak digunakan karbon untuk dikeluarkan itu semua.
“Itu semua bebanan kepada ekosistem, persekitaran negara,” katanya ketika berucap melancarkan Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Anwar mahu mahu kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bersama membantu memudahkan proses kelulusan supaya projek seperti diminta dapat dimulakan sesegera mungkin.
“Walaupun tanah milik Prasarana, saya rasa pihak Lembaga Prasarana teliti hal ini. Kawasan luas jangan dibazirkan. Penting untuk bangunkan (cukup kemudahan seperti) parkir, kedai, untuk peniaga kecil dan perumahan rakyat.
“Jadi saya percaya, Menteri Besar Selangor dan Majlis Perbandaran akan beri kerjasama, akan laksanakan dengan cekap. Saya tidak mahu dua bulan jadi lapan bulan. Kalau ikut kaedah biasa minimum lapan hingga10 bulan.
“Tapi bila kita tegaskan dan arah pelaksanaan segera, ia boleh selesai (dalam tempoh) satu setengah bulan. Macam di Pulau Pinang, bincang projek perumahan dengan Ketua Menteri boleh kelulusan dengan syarat itu dikemukakan dalam tempoh hanya satu bulan boleh dilakukan.
“Kalau nak tunggu rumah siap satu beban. Kalau boleh tingkatkan kecekapan (kelulusan), tingkat keselesaan kepada ratusan ribu (rakyat),” katanya. – MalaysiaGazette

















