KUALA LUMPUR – Kemajuan dalam bidang teknologi, kewangan dan inovasi bukan matlamat akhir, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai pemacu untuk menambah nilai sebenar kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kemajuan teknologi yang dibawa masuk ke negara ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata termasuk mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan.
“Apa yang paling penting adalah meluaskan akses perkhidmatan yang berpatutan bagi mereka yang sebelum ini terpinggir. Oleh itu, kerjasama antara pihak industri dengan universiti dan pusat penyelidikan adalah sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Pusat Pembangunan Global (GDC) Ant International di sini hari ini.
Tambah Anwar, Universiti di negara ini perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi serta lebih pantas menyesuaikan diri dengan perubahan semasa bagi mendepani cabaran dunia digital.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang mahu institusi pengajian tinggi bersifat terlalu utilitarian semata-mata dengan hanya memberi tumpuan kepada keperluan industri dan teknologi.
“Kita sebuah negara yang mempunyai pegangan agama, nilai, isu pelbagai kaum serta kepelbagaian budaya dan adat resam. Maka, isu nilai, kepercayaan (trust) dan rasa hormat adalah sangat kritikal kerana ia melibatkan kelangsungan negara ini,” tegas beliau.
Beliau turut menambah bahawa inovasi yang diperkenalkan mesti berteraskan prinsip mudah iaitu memastikan manfaat pertumbuhan dikongsi secara meluas tanpa ada mana-mana komuniti yang ketinggalan.
“Kemajuan teknologi mesti membawa kepada produktiviti yang lebih tinggi, daya tahan ekonomi yang dipertingkatkan dan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















