Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Mahfuz Omar (kanan) dan Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols (dua kiri hadapan) ketika melihat ladang cili di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

KUALA LUMPUR – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberi manfaat kepada kira-kira 7,787 isi rumah sejak pelaksanaannya selama hampir tiga tahun.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif yang menjadi pelengkap usaha pembasmian kemiskinan sedia ada, bertujuan menangani isu keterjaminan makanan, menyediakan peluang pekerjaan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau turut memaklumkan IPR turut mendapat sambutan amat menggalakkan dan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Sebahagian peserta telah berjaya meraih pendapatan bulanan melebihi RM2,000 sekali gus membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), mengenai hasil penilaian terhadap kejayaan dan keberkesanan IPR selepas pelaksanaannya serta penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) dalam dasar ekonomi negara.

Mengenai PADU, Akmal Nasrullah memberitahu sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan pengintegrasian data secara berterusan dengan pangkalan berkenaan.

“Sehingga Jun 2026, sebanyak 27 permohonan perkongsian data daripada agensi kerajaan telah diluluskan bagi pelaksanaan program serta dasar yang bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, kepentingan kesejahteraan rakyat, inovasi pendigitalan perkhidmatan serta kajian dan penyelidikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast