Suasana awal ketika anggota Polis melakukan kawalan di perkarangan Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai, Johor. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Seramai 3,565 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi melaksanakan pelbagai penugasan sepanjang proses pengundian awal, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan berlangsung esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kekuatan itu membabitkan 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam yang akan ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri.

“Penugasan meliputi kawalan keselamatan di pusat-pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata, proses pengundian awal PRN Johor kali ini membabitkan 64 pusat mengundi awal di seluruh negeri.

Katanya, ini terdiri daripada 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau memberitahu, seramai 12,710 pengundi awal daripada PDRM berdaftar bagi PRN Johor ke-16.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,067 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di pusat-pusat mengundi awal esok, manakala 643 lagi akan mengundi melalui kaedah undi pos,” katanya.

Ab Rahaman menegaskan PDRM Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal dan baki tempoh kempen PRN Johor ke-16.

Pihaknya berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan proses pengundian awal itu berlangsung dalam keadaan selamat, lancar dan terkawal.

Beliau berkata, sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

Orang ramai diseru supaya terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas di lapangan.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan PRN Johor ke-16 berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast