Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bergambar bersama calon-calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2026.

SEREMBAN – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dijadikan ukuran untuk gabungan itu menang mudah di Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap negeri mempunyai landskap politik, demografi dan cabaran berbeza, justeru seluruh jentera perlu bekerja lebih keras untuk meraih sokongan rakyat.

“Kejayaan BN memenangi 48 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor perlu dijadikan pembakar semangat, bukannya alasan untuk berasa selesa.

“Kemenangan semalam (11 Julai) bukan jaminan kemenangan esok.

“Menang di Johor bukan tiket automatik untuk kita menang di Negeri Sembilan,” katanya ketika melancarkan Jentera dan mengumumkan calon BN Negeri Sembilan, di Stadium Paroi, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid juga berkata, kemenangan hanya akan diperoleh sekiranya setiap jentera turun ke setiap kampung, taman perumahan, rumah serta lokaliti untuk bertemu pengundi.

“Pendekatan menyantuni rakyat secara bersemuka merupakan formula paling berkesan bagi meyakinkan pengundi terhadap kemampuan BN mentadbir negeri,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO, MCA, MIC, Friends of BN, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang terus komited membantu gerak kerja pilihan raya.

“Semangat kebersamaan perlu terus diperkukuhkan kerana ia merupakan kekuatan utama BN dalam menghadapi saingan PRN Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast