Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan jalan raya.

PGSM juga mentyifatkannya sebagai langkah tepat pada masanya dan selari dengan prinsip keadilan dan Maqasid Syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, cadangan pindaan itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam memastikan mangsa atau waris mereka memperoleh keadilan dengan lebih cepat tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang panjang dan berlarutan.

Menurut beliau, kebelakangan ini negara sering dikejutkan dengan kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau aktiviti lumba haram yang bukan sahaja meragut nyawa, malah menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa.

“Justeru, perlu ada undang-undang yang lebih tegas bukan sahaja untuk memberikan pampasan dan keadilan kepada mangsa, tetapi juga sebagai pengajaran serta pencegahan kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa berkata, langkah tersebut turut selari dengan usaha yang sedang digerakkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah pimpinan Senator Dr. Zulkifli Hasan yang sejak 11 Februari lalu meneliti pelaksanaan mekanisme pampasan berasaskan syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan.

Beliau menjelaskan, dari sudut syariah, pemerintah mempunyai kuasa menggubal undang-undang berkaitan pentadbiran dan keselamatan awam selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah serta bertujuan menjaga kemaslahatan rakyat.

“Pemeliharaan nyawa atau Hifz al-Nafs merupakan salah satu daripada lima maqasid syariah. Jika pindaan Akta 333 ini dapat meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan kemalangan dan melindungi nyawa melalui hukuman yang adil serta prosedur yang saksama maka ia selaras dengan objektif syariah,” katanya.

Tambah beliau, konsep Dhaman yang meletakkan tanggungjawab ganti rugi kepada pihak yang menyebabkan kerugian atau kecederaan akibat kecuaian selain prinsip Diyah dan Arsy dalam kes kematian atau kecederaan, boleh dijadikan asas dalam penggubalan undang-undang tersebut.

Sehubungan itu, PGSM menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepakaran dalam proses penggubalan pindaan Akta 333 bagi memastikan mekanisme pampasan yang dicadangkan dapat dilaksanakan secara berkesan dan adil kepada semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast