JOHOR BAHRU – Johor akan memperkasa ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dengan kelengkapan pelbagai teknologi pembelajaran moden termasuk pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, penyediaan kemudahan berteknologi tinggi itu merupakan antara fokus utama kerajaan negeri bagi memastikan murid Johor bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.
Jelasnya, usaha itu juga bagi memperkasakan ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SRBJ.
“Kerajaan negeri akan terus memperkasakan ekosistem STEM melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembelajaran seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
“Inisiatif ini bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah dan pembangunan inovasi bagi memupuk budaya berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Masai, di sini hari ini.
Menurut Dr Muhammad Naqib, inisiatif tersebut akan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif menerusi pendekatan berasaskan penerokaan, penyelesaian masalah serta pembangunan inovasi.
Katanya, penggunaan teknologi moden di dalam bilik darjah bukan sekadar meningkatkan minat murid terhadap STEM, malah membantu membentuk budaya berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif.
Jelasnya, usaha memperkukuh STEM itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan awal SRBJ yang mula menunjukkan impak positif walaupun baru memasuki tahun pertama pelaksanaan.
“Pelajar SRBJ telah membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan murid SMK Seri Kota Puteri 2 meraih Pingat Emas SAFEATHON 2026 di Universiti Teknologi Malaysia menerusi pertandingan inovasi berkaitan keselamatan,” katanya.
Tambahnya, sekolah sama turut mengharumkan nama Johor apabila memenangi Anugerah Inovasi Idea Terbaik pada Japan Youth Summit 2026 menerusi projek Craytion, iaitu inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi untuk terapi sensori kanak-kanak autisme.
Katanya, SRBJ turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Harvard University menerusi Program for Scientifically Inspired Leadership (PSIL) yang bakal memberi manfaat kepada 100 murid melalui pendedahan kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.- MalaysiaGazette
















