SEREMBAN – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa pihak yang menyebabkan kemerosotan Tabung Haji terdiri daripada orang Melayu sendiri bukan masyarakat Cina atau India seperti sering dimainkan dalam naratif politik.
Menurut beliau, usaha menyelamatkan institusi itu juga dilakukan pemimpin Melayu bersama bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Yang mengkhianati Tabung Haji bukan Cina, bukan India… Melayu. Yang menyelamatkan Tabung Haji Melayu juga, Mujahid Yusof Rawa bersama Lim Guan Eng,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat di sini malam tadi.
Mohamad berkata, rakyat kini boleh melihat hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menurutnya akan memperincikan penyelewengan berlaku dalam institusi berkenaan.
“Laporan polis serta tindakan susulan dijangka diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.
“Isu penyelewengan kewangan tidak boleh dilihat berdasarkan kaum kerana skandal besar seperti 1MDB juga melibatkan pemimpin Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad juga mengakui sudah ‘meluat’ dengan budaya politik menjatuhkan kerajaan melalui gerakan ‘tebuk atap’ yang menurutnya mengganggu pentadbiran negara.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pembangunan namun terpaksa berulang kali menghadapi pilihan raya susulan krisis politik.
“Saya sudah meluat dengan politik tebuk atap. Kita baru berjalan tiga tahun lebih, tiba-tiba pilihan raya lagi, Johor, Negeri Sembilan, Melaka… sampai bila?” soalnya.
Beliau mendakwa kempen pilihan raya yang berterusan menyebabkan menteri terpaksa meninggalkan tugas rasmi bagi membantu calon masing-masing.
“Keadaan itu tidak baik untuk kestabilan pentadbiran negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















