SEREMBAN – Isu kebajikan, peluang pekerjaan dan keprihatinan wakil rakyat menjadi antara pertimbangan utama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Sikamat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat hari ini mendapati sentimen rakyat tidak seragam di mana ada yang masih mengekalkan sokongan kepada penyandang terdahulu berdasarkan rekod perkhidmatan.
Manakala sebahagian lagi pengundi yang ditemui MalaysiaGazette mengharapkan perubahan selepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan.

Menurut seorang peniaga gerai makan, Vasanty Armaniam, 63, dia berharap mana-mana wakil rakyat yang dipilih selepas pilihan raya nanti lebih peka terhadap nasib golongan yang memerlukan.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali mengemukakan permohonan bantuan bagi cucunya yang kehilangan kedua-dua ibu bapa namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Saya sudah minta bantuan bertahun-tahun. Semua borang sudah diisi tetapi sampai sekarang belum dapat apa-apa.
“Saya menjaga cucu yang sudah di Tingkatan Tiga. Saya sendiri ada darah tinggi dan kencing manis. Harapan saya cuma supaya ada bantuan untuk kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Megaway di sini hari ini.
Warga emas itu juga berkata, walaupun cenderung memberi peluang kepada calon baharu, keputusan akhirnya bergantung kepada kemampuan wakil rakyat tersebut membela nasib penduduk.

Berbeza pula dengan Maniam Candran, 68, yang mengakui masih menaruh keyakinan terhadap PKR berdasarkan pengalaman menerima bantuan ketika kawasan itu diwakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini.
Katanya, dia pernah menerima bantuan kewangan bulanan bagi membeli ubat selain menyifatkan wakil rakyat ketika itu mudah ditemui dan sentiasa mendengar masalah rakyat.
“Kalau kami susah, kami pergi jumpa dan bantuan memang ada. Saya sendiri pernah menerima bantuan untuk membeli ubat.
“Beliau selalu bertemu rakyat dan bertanya sendiri masalah setiap orang. Sebab itu saya masih memberi sokongan kepada PKR,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Ho Sik Heong, 53, berpandangan calon PKR yang turun berkempen di kawasan perniagaannya menunjukkan pendekatan mesra rakyat dan wajar diberikan peluang.
“Hari ini dia datang jumpa kami di kedai. Saya tengok dia baik dan mesra. Saya memang sokong dia dan harap dia dapat terus berkhidmat di Sikamat,” katanya.
Walaupun mengakui bekas wakil rakyat tidak kerap dilihat turun ke kawasannya, beliau percaya calon baharu mampu meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, pengundi muda, Fadhli Mohamad, 35, berkata, isu peluang pekerjaan perlu diberi keutamaan oleh mana-mana kerajaan yang bakal mentadbir Negeri Sembilan.
Menurutnya, ramai anak muda masih bergelut mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai keinginan untuk bekerja.
“Yang penting sekarang peluang pekerjaan. Ramai anak muda mahu bekerja tetapi peluang masih kurang.
“Selain itu, saya harap keamanan, perpaduan dan keharmonian terus dikekalkan. Siapa pun yang menang, jagalah rakyat dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















