SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan keputusan kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), mencadangkan Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 Ogos ini dipanjangkan sekurang-kurangnya dua hari bagi membolehkan lebih ramai Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai isu ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ruang masa ini akan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen mengemukakan hujah yang bernas dan substantif demi menambah baik aspek pengurusan, tadbir urus serta prestasi TH.
Menurutnya, penubuhan RCI berhubung TH diputuskan oleh Kabinet ketika beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri, justeru pendedahan laporan itu memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui serta menilai dapatan suruhanjaya secara telus dan adil.
Menurutnya, masih terdapat beberapa aspek dalam laporan berkenaan yang memerlukan penjelasan lanjut daripada kerajaan, termasuk hasil audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang didakwa menyebabkan TH menanggung kerugian berbilion ringgit.
“Justeru, saya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Muhyiddin, langkah itu penting memandangkan TH merupakan institusi utama yang menguruskan pelaburan serta urusan ibadah haji umat Islam di negara ini.
Kelmarin, kerajaan mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji dan menetapkan Sidang Khas Parlimen pada 11 Ogos depan bagi membahaskan dapatan laporan berkenaan.
Di Seremban hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan mendedahkan keseluruhan laporan RCI berhubung pengurusan TH tanpa menyorok atau memotong mana-mana bahagian, termasuk nama individu yang terbabit.
Anwar turut berkata, Kabinet sudah membuat keputusan supaya keseluruhan laporan itu diterbitkan bersama syor serta proses yang berlaku sepanjang tempoh siasatan. – Malaysia Gazette
















