SEREMBAN – Kawasan perumahan di sekitar Sikamat memerlukan pelan pembangunan dan naik taraf secara menyeluruh berikutan kebanyakan kemudahan awam serta infrastruktur di kawasan itu telah uzur selepas hampir empat dekad dibangunkan.
Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata, keadaan tersebut tidak boleh diselesaikan hanya melalui kerja-kerja penyelenggaraan kecil atau pembaikan sementara, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang serta peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan.
Menurutnya, usia kawasan perumahan itu yang mencecah hampir 40 tahun menyebabkan banyak kemudahan asas mengalami kerosakan dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa penduduk.
“Kawasan perumahan itu sudah lama, saya ingat hampir 30 tahun lebih, malah mungkin hampir 40 tahun.
“Sudah tentu di sana terdapat banyak kemudahan infrastruktur yang telah uzur dan memerlukan perhatian yang lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa Sikamat dianaktirikan hingga banyak jalan berlubang dan infrastruktur tidak diselenggara.
Nor Azman berkata, hasil lawatannya ke kawasan berkenaan mendapati terdapat beberapa kemudahan awam yang keadaannya begitu uzur sehingga pembaikan bukan lagi penyelesaian terbaik.
Beliau memberi contoh sebuah surau di Taman Jujur yang menurut maklumat diterimanya berkemungkinan lebih sesuai dibina semula di lokasi baharu berbanding dibaik pulih.
“Saya juga dimaklumkan mengenai keadaan surau di kawasan Taman Jujur yang ada pandangan mengatakan ia tidak lagi sesuai untuk dibaiki.
“Mungkin perlu difikirkan tapak baharu yang lebih sesuai supaya kemudahan itu dapat memenuhi keperluan penduduk dengan lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, isu tersebut bukan hanya melibatkan sebuah bangunan atau kemudahan tertentu, sebaliknya memerlukan pendekatan pembangunan secara menyeluruh melibatkan pelbagai aspek termasuk kemudahan awam, saliran, jalan raya dan fasiliti komuniti.
“Ini bukan kerja-kerja kecil. Ia memerlukan satu rangka pembangunan yang lebih besar serta perancangan yang lebih komprehensif.
“Sudah tentu ia juga memerlukan bajet yang lebih besar bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur di kawasan Taman Jujur dapat dinaik taraf dengan baik,” katanya.
Menurut Nor Azman, pelaksanaan projek pembangunan berskala besar itu akan menjadi lebih mudah sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berada dalam jajaran pentadbiran yang sama.
“Kalau kita diberi mandat dan kerajaan negeri serta Persekutuan bergerak sehaluan, usaha untuk menyelesaikan isu-isu infrastruktur ini akan menjadi lebih mudah kerana ia melibatkan koordinasi dan peruntukan yang lebih tersusun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















