JELEBU – Penguasaan tiga penggal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di DUN Chennah berakhir apabila beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Kekalahan itu menjadi antara kejutan terbesar PRN kali ini memandangkan Chennah selama ini dianggap kubu kuat Loke sejak beliau memenangi kerusi berkenaan pada 2013.
Sepanjang kempen, Chennah turut menjadi antara kerusi paling mendapat perhatian apabila Loke berdepan pelbagai kritikan daripada pihak lawan, selain beliau sendiri mengakui kawasan itu merupakan antara medan paling mencabar buat DAP dalam pilihan raya kali ini.
Berucap kepada penyokong sejurus keputusan tidak rasmi diperoleh, Loke menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka sambil mengucapkan terima kasih kepada semua jentera dan penyokong yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, pasukan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan yang terbaik di Chennah, namun tetap tewas dengan majoriti melebihi 500 undi, bagaimanapun angka ini belum rasmi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua. Tolong jangan berkecil hati atau kecewa. Kami akan terus berdiri bersama anda semua.
“Walaupun kami tidak dapat memenangi kerusi ini, anda semua akan sentiasa berada di hati kami,” katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon BN memperoleh 5,593 undi, manakala Loke yang mewakili PH meraih 5,060 undi, memberikan majoriti 533 undi kepada BN.
Keputusan itu bagaimanapun masih menunggu pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Loke mula mewakili DUN Chennah pada 2013 selepas berpindah dari DUN Lobak dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2018 serta PRN Negeri Sembilan 2023.
Kekalahan beliau di Chennah turut dilihat sebagai simbol perubahan landskap politik negeri, apabila antara pemimpin paling berpengaruh DAP itu gagal mempertahankan kerusi yang menjadi asas kekuatannya di Negeri Sembilan selama tiga penggal. -MalaysiaGazette
















