KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menjelaskan status bayaran zakat bagi pendeposit Tabung Haji (TH) susulan penemuan `meresahkan’ dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan umum, Rabu lalu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, laporan suruhanjaya mendapati semasa Lembaga Tabung Haji (LTH) membayar zakat di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah dari 2016 hingga 2019, ia sebenarnya perlu dibayar oleh agensi itu bukan dilunaskan oleh pendeposit.
Menurut beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, pendekatan yang diambil oleh agensi itu bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.
Oleh yang demikian, menurut Rafizi, Perdana Menteri dan Menteri Agama perlu menjelaskan sama ada zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh di antara 2016 dan 2019 telah dilunaskan selepas mengambil alih kerajaan.
Beliau turut memohon institusi ilmuwan agama memberi panduan kepada pendeposit dan nasihat kepada kerajaan untuk merungkai isu berkaitan zakat dalam TH.
“TH perlu mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan apa yang telah dibuat untuk melepaskan pendeposit-pendeposit dari tanggungjawab Islam membayar zakat tatkala mereka ingat zakat-zakat itu telah dibayar oleh agensi berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan bagi pihak Parti Bersama Malaysia (Bersama) hari ini.
Rafizi selanjutnya berkata, reaksi orang ramai terutama yang beragama Islam menunjukkan salah satu perkara yang menimbulkan keresahan ialah penemuan Suruhanjaya Diraja mengenai status bayaran zakat bagi pihak pendeposit.
Jelas beliau, pada tahun 1979, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (kini dikenali sebagai Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa kontrak syariah di antara LTH dan pendeposit adalah Mudarabah.
Katanya, oleh itu LTH perlu membayar zakat bagi pihak pendeposit daripada aktiviti-aktiviti pelaburan dan perniagaan sebelum agihan keuntungan (hibah) dibuat.
Menurut Rafizi, sepanjang operasinya terutamanya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bermula 2009 LTH telah mula menggunakan keuntungan pelaburan untuk membiayai sebahagian subsidi haji.
“Suruhanjaya Diraja berpandangan ini bertentangan dengan konsep Mudarabah iaitu pengusaha (LTH) tidak boleh dengan bebas membelanjakan keuntungan pelaburan untuk memberi sumbangan (dalam kes ini sebagai subsidi haji) dengan sewenang-wenangnya, tanpa persetujuan rakan kongsi (pendeposit),” katanya.
Rafizi selanjutnya menjelaskan, pada 2016, akad deposit (kontrak syariah) telah ditukar dari Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu deposit dikira sebagai simpanan yang mana LTH membayar keuntungan (hibah) kepada pendeposit untuk mengelakkan pembayaran riba.
Suruhanjaya Diraja mendapati antara faktor perubahan tersebut adalah kerana LTH telah mula menggunakan sebahagian keuntungan pelaburan untuk membiayai subsidi di bawah akad Mudarabah.
“Kesan daripada pertukaran akad Wadi’ah Yad Dhamanah telah mengubah hubungan yang boleh menyebabkan pendeposit terdedah kepada tanggungan zakat,” ujarnya.
Menurut beliau, perkara itu dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia dalam suratnya bertarikh 26 Jun 2019 kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
BNM menyatakan penzahiran berkenaan zakat kepada pendeposit mungkin tidak sama sebagai kontrak di bawah Wadi’ah Yad Dhamanah.
Jelas Rafizi, di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah, LTH telah menjadi peminjam kepada deposit yang disimpan.
Justeru, katanya, bayaran zakat oleh LTH pada masa itu hanya mewakili perniagaan LTH sebagai sebuah institusi manakala pendeposit sepatutnya perlu membayar zakat simpanan iaitu 2.5 peratus dari jumlah simpanan.
Ujar beliau, LTH menukar kontrak syariah dari Wadi’ah Yad Dhamanah kepada Wakalah hanya pada Disember 2019.
“Adakah kerajaan selepas mengambil alih pentadbiran telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh 2016 hingga 2019?’ soalnya – MalaysiaGazette
















