PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan syarikat telekomunikasi (telco) memberi penjelasan berhubung dakwaan pendaftaran sejumlah besar nombor telefon menerusi satu nama.
Beliau berkata, penjelasan itu perlu diberikan hari ini susulan kebimbangan nombor telefon yang didaftarkan disalahgunakan untuk tujuan tidak baik, termasuk kegiatan penipuan dalam talian (scam).
“Maka syarikat-syarikat telco ini tidak boleh lagi berdiam diri. Saya akan panggil mereka untuk datang berjumpa saya dan beri penjelasan penuh tentang perkara ini.
“Kita telah menggunakan beberapa sekatan, termasuk pendaftaran bagi talian prabayar perlu disahkan menggunakan MyDigital ID. Ini penting kerana kita dapati ada sejumlah nombor telefon yang didaftarkan akhirnya untuk tujuan yang tidak baik dan disalahgunakan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Fahmi berkata, proses pendaftaran nombor telefon perlu dilakukan dengan lebih ketat bagi mengelakkan identiti pemilik kad pengenalan disalahgunakan pihak lain.
“Kadangkala keluarga warga asing, kadangkala orang yang tidak dikenali atau individu yang menyerahkan MyKad dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan meneliti dan mengesahkan maklumat berhubung dakwaan berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Fahmi mengarahkan kempen Internet Selamat dipercepat dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan termasuk pinggir bandar serta kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman scam.
Beliau berkata, usaha itu perlu melibatkan komuniti setempat termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk serta kumpulan kejiranan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Saya minta supaya dua perkara disusuli. Pertama, PPIM sediakan satu kertas kerja untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan saya akan minta supaya kita fast track kempen Internet Selamat untuk bantu melaksanakan kempen seperti ini di lebih banyak tempat.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran dan melaksanakan proses libat urus termasuk dengan PIBG, persatuan penduduk, kumpulan kejiranan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, capaian internet yang semakin meluas sehingga ke kawasan terpencil turut memberi peluang kepada scammer menyasarkan mangsa tanpa perlu berada di lokasi berkenaan.
“Bila kita sediakan internet sampai ke kampung-kampung yang terpencil, maksudnya scammer pun sudah boleh pergi ke kampung-kampung yang terpencil tanpa meninggalkan tempat kerja mereka.
“Jadi usaha untuk menangani scam ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya.
Terdahulu, Nadzim dalam ucapannya mendakwa syarikat telco antara pihak yang perlu diberi perhatian dalam usaha membendung kegiatan scam susulan dakwaan pendaftaran nombor telefon secara berlebihan menggunakan nama individu.
Beliau berkata, hasil siasatan PPIM mendapati terdapat individu yang tidak menyedari sejumlah besar talian telefon didaftarkan menggunakan nama mereka.
“Kita buat siasatan, kebanyakan kejadian scam sebenarnya `kepala pengat’ adalah telco. Mereka buat kerja suka hati sahaja, mahu duit, daftar, untuk kita bayar, yang ditipu kita.
“Ada yang terkini, seorang pak cik berumur lebih 70 tahun tiba-tiba dia tahu ada 18 talian didaftarkan di bawah namanya. Ada satu nama tapi ada 400 nombor guna namanya,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















