GEORGE TOWN – Seorang lelaki Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki warga Australia di sebuah warung penjaja, minggu lalu.
Tertuduh, Aung Phyo Win, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan cara meraba bahagian kemaluan mangsa bagi maksud seksual.
Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh berada di Warung Penjaja, Lorong Baharu di sini kira-kira jam 9.10 malam, pada 20 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Dalam rayuan, Mahendran memohon mahkamah mempertimbangkan supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin, selain memaklumkan terdapat dua warga Malaysia yang sedia menjadi penjamin.
Beliau turut memberitahu anak guamnya akan mematuhi semua syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah dan pasport miliknya sudah diserahkan kepada pihak polis.
Bagaimanapun, Anuarul Hakim tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memaklumkan pihaknya belum menerima pengesahan kesahihan dokumen berkenaan walaupun pasport tertuduh sudah berada dalam simpanan polis.
Terdahulu, Juraidah menyoal tertuduh sama ada memahami bahasa Melayu sebelum dia memaklumkan bahawa sudah bekerja di negara ini selama empat tahun dan telah berkahwin.
Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu bapa dan seorang lagi adiknya sedang makan di kawasan penjaja itu.
Suspek yang bekerja di salah sebuah gerai di kawasan itu berkenaan menghampiri kanak-kanak berkenaan sebelum meraba bahagian kemaluannya.
Bagaimanapun, tindakan suspek disedari keluarga mangsa sebelum membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek di lokasi kejadian.
Difahamkan, suspek mengaku meraba kemaluan mangsa kerana menyukai kanak-kanak berkenaan dan menganggapnya comel.
Mangsa difahamkan merupakan anak kepada pasangan warga Australia yang datang ke Malaysia untuk bercuti bersama dua anak mereka pada 19 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















