Foto: FB Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji dari Tahun 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Menurutnya, PAC menyifatkan pendedahan RCI berkenaan amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini, sekiranya ia tidak ditangani dengan sewajarnya.

Tambah beliau, masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.

“Justeru, PAC berpandangan sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan di bawah Parlimen yang bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Am Bilangan 1 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri adalah menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk memulakan prosiding berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada masa sama, PAC menegaskan bahawa prosiding itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dibuat dengan menyeluruh, sebaliknya akan menumpukan kepada status dan kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI selaras dengan fungsi teras PAC.

Bagaimanapun, jelasnya, tajuk, terma rujukan (TOR) dan senarai saksi berhubung prosiding TH itu masih belum ditetapkan buat masa ini dan Jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan.

Pada masa sama, kata beliau, PAC sudah mempunyai pengalaman dalam menyiasat isu-isu yang besar dan sensitif antaranya Prosiding 1MDB pada tahun 2016, Prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 Bilion (2019) dan Prosiding Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (2022).

Malah, jelasnya, prosiding PAC berhubung perolehan LCS dimulakan selepas Jawatankuasa itu menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada tahun 2019.

“Bagi memastikan siasatan prosiding berhubung TH dilakukan secara komprehensif, telus dan berakauntabiliti, PAC akan turut menggunakan dokumen-dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Firma Audit PwC sebagai rujukan dalam prosiding ini,” katanya.

Tambahnya, PAC komited untuk menjalankan siasatan ini secara telus dan adil demi memastikan akauntabiliti berterusan pengurusan wang awam dan mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap TH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here