GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyerang jirannya yang berusia 86 tahun menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Tertuduh, Ooi Hock Wah, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, Hock Wah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Oung Kien Hock, 86, dengan menggunakan sebatang besi iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah beralamat 326-F Jalan Perak di sini, jam 9.30 pagi pada 23 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan pesalah juga boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan mangsa, Oung Kien Hock, masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan tidak stabil.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh sementara menunggu fakta kes dan hukuman, mengambil kira keadaan mangsa serta risiko sekiranya tertuduh dibebaskan.
Katanya, mangsa masih menerima rawatan di hospital dan pihak pendakwaan dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa kedua-dua kaki mangsa mengalami keretakan, selain patah pada bahagian tangan.
“Bagi kes ini, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan mengambil kira keadaan mangsa yang masih tidak stabil dan memerlukan rawatan di hospital.
“Kedua, tertuduh adalah jiran sebelah mangsa dan pemberian jaminan atau pembebasan tertuduh boleh mendatangkan risiko yang besar dalam kes ini.
“Ketiga, tertuduh telah mengaku bersalah hari ini. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh untuk fakta kes dikemukakan bagi tujuan hukuman,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan untuk fakta kes dan hukuman.
Terdahulu, sementara menunggu kehadiran jurubahasa, tertuduh mengalami sawan, namun keadaannya kembali stabil selepas mengambil ubat.
Media pada Ahad lalu melaporkan, seorang lelaki warga emas parah dipukul jirannya menggunakan sebatang besi selepas berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka, pada jam 9.30 pagi.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa dalam keadaan terbaring.
Susulan insiden itu mangsa yang berusia 80 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















