KUALA LUMPUR – Seramai lima pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah atas dakwaan mempromosi judi haram atas talian di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sebaliknya kesemua tertuduh memohon untuk dibicarakan atas dakwaan itu dikatakan dilakukan melalui media sosial masing-masing pada bulan lalu.
Semua tertuduh dalam kalangan wanita iaitu Aileen Koh Ooi Leng, Hayatunnuffus Zakariya, Nurul Syifa Aliya Adanan, Nurazalina Mustafa dan Noor Shahnez Marzuani mohon dibicarakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Aileen Koh didakwa mempromosi judi di tempat awam secara dalam talian di sebuah restoran di Sentul 13 pada Jun lepas.
Jika sabit salah mengikut Seksyen 8(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun.
Dua lagi tertuduh, Hayatunnuffus dan Noor Shahnez pula didakwa mengumumkan atau menerbitkan dengan cara mempromosi platform perjudian dalam talian menerusi akaun Instagram milik mengajak atau memperdaya orang untuk berjudi di rumah judi terbuka.
Manakala dua lagi tertuduh, Nurul Syifa dan Nurazalina didakwa membantu menjalankan promosi perjudian atas talian iaitu Winbox World, KK8, We1Win dan Lucky365 juga melalui akaun Instagram kendalian mereka.
Jika sabit salah, semua empat tertuduh ini didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun.
Mereka juga berdepan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Ketika prosiding di hadapan Majistret Aina Azahra, pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Nom Phot Prack Dit menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 ke atas Hayatunnuffus dan Aileen Koh.
Namun kedua-dua melalui peguambela, Azlan Abdul Razak dan V Varunnath, memohon jaminan dibenarkan pada kadar minimum kerana tidak ada sebarang pendapatan tetap.
Mereka kemudian dibenarkan dijamin dengan RM4,000 setiap seorang dengan penjamin.
Manakala di hadapan Majistret Illi Marisqa, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan ke atas Nurul Syifa, Nurazalina dan Noor Shahnez sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam bela mewakili tertuduh, Mohd Rhastdan Abdul Wahab, Meor Khusyairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan A Krishnaveni memohon supaya anak guam dibenarkan jaminan minimum.
Hakim membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan kes ditetapkan pada 15 Ogos depan. – MalaysiaGazette
















