KLUANG – Seorang pesara kerajaan maut manakala lapan lagi termasuk tiga warga emas Singapura cedera dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Staria dan Proton Saga Iswara berlaku pukul 2.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta tersebut dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam dan MPV itu dari arah bertentangan.
“Sampai di tempat kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan dan masuk ke laluan MPV tersebut dan bertembung,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu kereta, Suliaman Sutar, 75, beralamat di Simpang Renggam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan badan.
Katanya, pemandu MPV yang merupakan kenderaan Grab, Choo Kok Wai, 42, dan penumpangnya iaitu tiga wanita Singapura serta dua wanita tempatan dan seorang lelaki tempatan cedera.
Menurutnya, penumpang terbabit berusia antara 58 hingga 91 tahun yang mengalami kecederaan ringan di badan mendapatkan rawatan di klinik swasta di Simpang Renggam.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Bahrin menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa di atas jalan raya supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.- MalaysiaGazette
















