Pertuduhan terhadap lima warga Iran termasuk dua wanita ditangguhkan susulan perlu jurubahasa Parsi.

GEORGE TOWN – Prosiding pendakwaan terhadap lima warga Iran di Mahkamah Majistret di sini hari ini terpaksa ditangguhkan selepas mahkamah dimaklumkan kesemua tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan Inggeris.

Penangguhan itu dibuat bagi membolehkan jurubahasa Parsi dilantik sebelum pertuduhan dibacakan pada tarikh baharu yang ditetapkan iaitu 10 September depan.

Mereka ialah Tarfi Ghader, 33; Fazeli Payam, 33; Zahra Hasani, 30; Dinarvand Siavash, 28 dan Sara Ghiyas, 19, yang dihadapkan di hadapan tiga majistret berasingan iaitu Nadratun Naim Mohd Saidi, Siti Nurul Suhaila Baharin dan Muhammad Amzar Ismail.

Peguambela mereka, R. Thandayuthabany Pillay memaklumkan kepada mahkamah,  anak guamnya memerlukan khidmat jurubahasa Parsi bagi memahami sepenuhnya pertuduhan yang akan dibacakan.

Antara kesalahan yang akan dituduh termasuk mencuri di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, mengambil dadah di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, Lau Shavin dan Syairah Aqilah Khalil mengendalikan pendakwaan manakala mahkamah turut memutuskan kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Media pada 3 Ogos lalu melaporkan, tiga pelancong asing dari Taiwan, Belanda dan Syria menjadi mangsa sindiket pukau membabitkan kumpulan itu di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, modus operandi sindiket itu adalah berpura-pura beramah mesra sebelum meminta mangsa menunjukkan wang tunai.

“Ketika perbualan berlangsung, wang mangsa diambil tanpa disedari dan hanya disedari selepas suspek beredar,” kata Mohd Alwi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast