Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Banjir di KELANTAN pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2, Gua Musang yang menempatkan 218 orang daripada 51 keluarga ditutup hari ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang Bun Tham Eh Gin berkata PPS itu ditutup pada 10 pagi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga apabila hujan lebat dan perlu patuh arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir petang ini meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga berbanding 2,897 orang daripada 813 keluarga pagi tadi di 25 PPS dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Selagon, Beaufort.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan dua lagi PPS dibuka hari ini di daerah Sipitang iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah.

“Tiga daerah menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa iaitu Beaufort, Papar dan Sipitang manakala Penampang, Membakut dan Putatan mencatatkan penurunan,” menurut JPBN Sabah.

Jawatankuasa itu memaklumkan sebanyak 126 buah kampung terjejas berikutan banjir yang melanda Sabah sejak 9 Sept.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast