Tangkap layar video yang memaparkan bangunan kilang terbakar dan asap hitam menjulang ke langit di Ecoperniagaan, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang sesak nafas sebelum berjaya diselamatkan selepas dua buah kilang terbakar di Taman Ecoperniagaan, di sini, awal petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Hadi Mohamad berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 41 tahun dikeluarkan sebelum dihantar orang awam ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Pemeriksaan kemudian mendapati tiada mangsa lain dalam kilang berkenaan yang sedang terbakar. Kebakaran itu melibatkan bangunan serta mesin dengan keluaasan 130 X 85 X 80 kaki persegi.

“Kilang tersebut menjalankan proses penghasilan ais batu dan mesin pencuci pinggan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kebakaran turut merebak ke sebuah lagi kilang yang dijadikan butik sewaan peralatan perkahwinan dengan keluasan 80 X 85 X 80 kaki persegi.

Jelasnya, kilang ais tersebut musnah kira-kira 95 peratus manakala kilang yang dijadikan butik sewaan peralatan perkahwinan musnah 55 peratus.

Beliau memberitahu, ketika ini kerja-kerja memadam kebakaran masih berjalan dan seramai 15 anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.05 petang.

Hadi berkata, dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut membantu operasi tersebut.

Video berkenaan kejadian tersebut yang berdurasi 20 saat tular dalam media sosial memaparkan bangunan kilang terbakar dan asap hitam menjulang ke langit di Ecoperniagaan di sini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast