JOHOR BAHRU – Seorang wanita memberi alasan tidak sihat dan mendakwa tunangnya perlu menjaganya semasa ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di bandar raya ini semalam.
Alasan itu diberikan wanita tersebut dalam usaha melepaskan diri semasa pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan pada pukul 2.30 pagi semalam.
Menurut JAINJ dalam satu kenyataan, operasi cegah maksiat tersebut dilakukan selepas menerima aduan dan serbuan dilakukan dengan berhati-hati supaya pergerakan penguat kuasa tidak disedari atau ‘bocor’ hingga diketahui pasangan itu.
“Tiba di lokasi, penguat kuasa menemui dua pengawal keselamatan di pintu masuk. Penguat kuasa menunjukkan kad kuasa dan waran dan meminta pengawal tersebut berkerjasama tanpa membocorkan rahsia serbuan.
“Penguat kuasa menggunakan lif untuk naik ke tingkat atas dan mengetuk pintu sambil memanggil penghuninya dengan kekuat dan memberi salam,” menurut kenyataan tersebut.
Bagaimanapun pintu masih belum dibuka sehingga penguat kuasa memberi amaran terakhir sebelum mangga pintu dipecahkan.
JAINJ memberitahu, pintu dibuka 10 minit kemudian oleh seorang lelaki yang berseluar panjang dan t-shirt.
Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk pemeriksaan dan mendapati keadaan rumah gelap sebelum menemui seorang wanita berseluar panjang, t-shirt dan bertudung di sebelah pintu.
JAINJ memaklumkan, pasangan tersebut kelihatan pucat dan tidak senang dengan kehadiran penguat kuasa.
Jelas JAINJ, rumah itu adalah rumah studio mewah tanpa bilik, pemeriksaan lanjut di katil mendapati berselerak dengan cadar dah selimut berkembur serta keadaan penghawa dingin terpasang.
Hasil soal siasat, pasangan berkenaan mengaku berdua-duaan sahaja dan bukan suami isteri, tetapi mengaku sudah bertunang dan akan bernikah selepas raya puasa.
“Lelaki ini berumur 20-an, masih bujang dan bekerja di seberang tambak. Wanita ini umur 20-an dan dalam sistem masih anak dara dan bekerja di seberang tambak juga.
“Pakaian lelaki ditemui dalam almari. Apabila ditanya kenapa wanita ini datang, dia menjawab tidak sihat dan lelaki ini perlu menjaganya,” kata JAINJ.
Menurut JAINJ lagi, pasangan tersebut menganggap kondominium mewah akan terlepas daripada radar operasi penguat kuasa tetapi ‘kantoi’ juga akhirnya.
“Bila dah kena tangkap, baru rasa menyesal dan terfikir, macam manalah penguat kuasa boleh bobos masuk tempat selamat macam ni.”
Rumah berkenaan ujar JAINJ baru lagi disewa dan mereka dijangka tinggal bersama-sama di sini selepas nikah nanti.
Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.- MalaysiaGazette
















