PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mematahkan cubaan penyelewengan diesel RM20,716 dalam serbuan di stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang di sini, semalam.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, operasi tersebut dilakukan Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) dalam satu rondaan pada pukul 2 petang.
Menurutnya, pasukan URP telah mengesan sebuah lori yang mencurigakan sebelum bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan diubah suai dengan pemasangan dua unit pam yang disambungkan terus daripada tangki asal kenderaan ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di bahagian ruang simpanan, yang dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas pemandu iaitu lelaki warga tempatan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah termasuk permit khas menyimpan atau tujuan pembelian minyak diesel tersebut.
Katanya, pemandu terbabit yang berusia lingkungan 40-an ditahan untuk diambil keterangan bagi tujuan siasatan.
Jelasnya, modus operandi tersebut dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah.
“Susulan itu, pihak KPDN Johor telah menghasilkan satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961). Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM20,716,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menyeleweng barang kawalan termasuk melalui pengubahsuaian kenderaan merupakan satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
Ujarnya, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi membanteras ketirisan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat.
Dalam masa sama, tambahnya, KPDN Johor mengalu-alukan aduan daripada orang awam serta menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan penyaluran maklumat dan aduan.
Orang ramai di Johor boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kepada pihak Kementerian melalui:i. Whatsapp 019–848 8000 ;ii. Portal e–Aduan KPDN iaitu [email protected]; iii. Call Centre 1–800–886-800; daniv.Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.- MalaysiaGazette
















