KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Tony Pua sebagai biadap susulan kenyataan pemimpin DAP itu berhubung titah Sultan Selangor mengenai Rukun Negara.
Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO tetap kekal mendukung institusi diraja dan menyokong titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.
“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku! ” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu menegaskan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/19/kuasa-raja-adalah-terhad-kata-tony-pua/
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.
Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam masa sama, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ. -MalaysiaGazette
















