Foto: FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.

Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Dalam masa sama, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ.

Terdahulu, dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin berkongsi baginda hari ini berangkat ke Dataran Selangor (Selangor Square) untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Titah baginda, Plak Monumen itu dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk (benches) yang disediakan untuk para pengunjung.

“Beta telah membiayai sepenuhnya kos bagi pembinaan Plak Monumen Rukun Negara dan tempat duduk ini.

“Dengan terbinanya Plak Monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara.

“Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini,” titah baginda.

Foto: FB Selangor Royal Office

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Siew Ki dan Ronnie Liu mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak khususnya orang Melayi dan umat Islam berhubung kenyataan mereka berkenaan projek ternakan babi di Selangor yang disifatkan seolah-olah penderhakaan kepada Sultan Sharafuddin.

Sultan Sharafuddin sebelum ini turut bertitah kekal dengan pendirian bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.

Susulan kontroversi itu juga, satu himpunan Daulat Tuanku sebagai tanda taat setia kepada Sultan Selangor dianjurkan Sabtu lalu di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast