BATU PAHAT – Seorang jurujual emas sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majestrit di sini hari ini atas pertuduhan mencuri anggaran 1.4 kilogram (kg) emas bermula Mei tahun lalu hingga bulan ini.
Teng Wei Kiang yang berusia 33 tahun mengangguk faham namun mengaku tidak bersalah selepas 35 pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut semua kertas pertuduhan terhadapnya, Wei Kiang yang bekerja sebagai jurujual emas di Syarikat Sky Goldsmith Two Sdn Bhd melakukan pecah amanah jenayah ke atas emas anggaran berat 1.4 kg berharga RM385,400 dengan menyalahgunakannya untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan tersebut dilakukan bermula bulan antara Oktober 2025 hingga Mei 2026 di lapan kedai pajak di sekitar daerah Kluang dan Batu Pahat.
Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara satu hingga 14 tahun, sebat dan hendaklah juga dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Aizuddin Sulaiman kemudiannya menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport jika ada serta tidak mengganggu saksi.
Tertuduh yang diwakili peguam, N. Moganeysha memohon jaminan dikurangkan paling minimum RM15,000 bagi semua tuduhan berikutan tertuduh sudah berumah tangga serta mempunyai seorang anak perempuan dan terpaksa menanggung keluarga termasuk ayah dan ibunya yang sudah uzur.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport jika ada serta tidak mengganggu saksi sepanjang tempoh jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan dan penyerahan dokumen pada 25 Jun ini.- MalaysiaGazette
















