Seorang pekerja kilang didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas kesalahan membenarkan akaun bank miliknya digunakan dalam urusan transaksi kemasukan wang.

​KOTA TINGGI – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang pekerja kilang atas kesalahan membenarkan akaun bank miliknya digunakan dalam urusan transaksi kemasukan wang tanpa maksud yang sah, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus bin Zahari, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

​Mengikut pertuduhan, Muhammad Firdaus didapati secara tidak langsung menggunakan akaun RHB Bank miliknya bagi suatu transaksi kemasukan wang berjumlah RM10,356.48 tanpa maksud yang sah.

​Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 13 Mei lalu, kira-kira pukul 11.46 pagi.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau penjara antara tiga hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dipenjara selama tiga tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.

​Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

​Berdasarkan fakta kes, pada 18 Jun 2025, seorang pengadu terpedaya dalam urusan tipu bayaran wang kepada pembekal tidak wujud melalui aplikasi e-mel sebelum memindahkan wang berjumlah RM10,356.48 ke akaun bank milik tertuduh.

Pengadu yang menyedari dirinya ditipu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tenggara.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil telah menahan tertuduh di perkarangan Balai Polis Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 13 Mei lalu, kira-kira pukul 11.46 pagi.

​Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membuka akaun RHB Bank berkenaan di cawangan Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Disember 2021.

Tertuduh bertindak menyerahkan kad ATM bersama-sama nombor PIN akaun tersebut kepada seorang individu lain untuk tujuan pinjaman walaupun tahu perbuatan berkongsi maklumat perbankan kepada pihak ketiga adalah dilarang.

​Tertuduh juga gagal memberikan penjelasan yang munasabah berhubung wang milik pengadu yang masuk ke dalam akaunnya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast