MUAR – Tempoh reman empat hari terhadap remaja yang berlumba hingga meragut nyawa abangnya dan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang minggu lalu disambung dua hari lagi.
Perintah reman terhadap suspek berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno selepas tempoh reman sebelum ini tamat hari ini.
Permohonan sambung reman terhadap suspek bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kemalangan itu.
Terdahulu, suspek berbaju coklat dan berseluar pendek tiba di Kompleks Mahkamah Muar pada pukul 8.50 pagi bagi mendapatkan perintah reman buat kali keempat.
Reman pertama dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibenarkan dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Selasa lalu, kemudiannya disambung sehari lagi di Mahkamah Majistret Kluang pada keesokan hari.
Bagaimanapun, sebaik tempoh reman berakhir, polis menahan semula suspek pada Khamis lalu dan direman empat hari di Mahkamah Sesyen Kluang untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Walau bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 42 (1) masih diteruskan berdasarkan video tular yang menunjukkan kenderaan dibawa dipandu laju dan melulu.
Tindakan suspek yang pemandu Mercedes Benz A250 manakala abangnya berusia 22 tahun memandu BMW 530e menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan lima kenderaan hingga meragut nyawa empat sekeluarga. – MalaysiaGazette
















