PASIR GUDANG – Dua maut tersepit manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Plentong menghala Masai lama di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Razali Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.33 pagi.
Susulan itu katanya, lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya enam kilometer.
“Kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dengan nombor pendaftaran tidak diketahui yang melibatkan tiga mangsa tersepit dalam kereta.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, Aznil Khan dan Muhd Hasry Harris yang berusia lingkungan 20-an meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki berusia 23 tahun cedera dan dibawa pihak ambulans ke hospital berdekatan.
Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizad Azim Mohd Asri yang berusia 23 tahun cedera dan dibawa ambulans ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Tambah beliau, operasi tersebut tamat pukul 3.08 pagi.- MalaysiaGazette
















