KLUANG – Kegiatan seorang buruh yang disyaki menjadi tokan dengan menjual dadah di Jalan Pasar Simpang Renggam di sini, terbongkar apabila dia ditahan polis semalam.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pukul 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejayaan menangkap suspek itu selepas pihaknya mengambil masa sebulan untuk risikan selepas menerima maklumat orang ramai.
“Hasil pemeriksaan menemukan 13 peket dipercayai dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 1116.80 gram bernilai anggaran RM110,006.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod berkaitan dadah dan jenayah manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Jun ini.
Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – MalaysiaGazette
















