PASIR GUDANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merekodkan 2,797 kesalahan jalan raya menerusi hasil pemeriksaan ke atas 8,932 kenderaan dalam Operasi 1 Johor yang dijalankan di seluruh negeri hari ini.
Menurut Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, daripada jumlah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 1,123 kenderaan sudah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak 2,393 notis dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik dalam operasi bersepadu yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
“Statistik menunjukkan kesalahan paling tinggi dikesan adalah melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 572 kes, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 523 kes dan insurans tamat tempoh sebanyak 506 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelaksanaan Op Satu Johor secara besar-besaran melibatkan seluruh daerah di Simpang Empat, Jalan Besar di sini hari ini.
Katanya, bagi kesalahan lain yang turut dikesan ialah ubah suai kenderaan (135 kes), tiada lesen memandu vokasional (GDL) sebanyak 56 kes dan lesen GDL dan CDL tamat tempoh (43 kes).
Zulkarnain memberitahu, operasi bersepadu yang dijalankan itu bertujuan meningkatkan tahap persepsi boleh ditangkap (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya bagi menurunkan kadar kemalangan.
Tambahnya, JPJ Johor akan meneruskan operasi berkala seperti itu sekurang-kurangnya empat kali sebulan bagi memastikan kelestarian keselamatan jalan raya di negeri itu.
Dalam operasi itu katanya, JPJ turut mengeluarkan notis saman terhadap kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (357 kes), tayar tidak ikut spesifikasi (35 kes) dan lain-lain kesalahan teknikal (418 kes).
“Dalam operasi bersepadu di seluruh negeri bermula 4 petang hingga 7 malam tadi, kita turut menyita 24 buah motosikal, dua buah kereta, dua buah van dan tiga buah lori,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















