Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera terjatuh dari tingkat empat bangunan Pei Chun High School di Pontian Besar, Pontian semalam.- Foto media sosial

PONTIAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera terjatuh dari tingkat empat bangunan Pei Chun High School di Pontian Besar, di sini semalam.

Pei Chun High School dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 9 pagi ketika sesi persekolahan sedang berjalan.

“Sebaik kejadian berlaku, pihak sekolah segera menghubungi ambulans untuk menghantar pelajar tersebut ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ketika ambulans tiba di lokasi, pelajar berada dalam keadaan sedar.

“Lembaga Pengarah dan guru sekolah turut ke hospital untuk melawat pelajar dan memberikan bantuan serta sokongan yang diperlukan kepada pelajar dan ahli keluarga,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak pengurusan sekolah juga akan menyemak semula dan memperkukuh langkah-langkah pengurusan keselamatan sekolah.

Selain itu, kenyataan tersebut memberitahu, pihak sekolah sudah membuat laporan polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa membuat sebarang andaian atau ulasan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga sekolah berkenaan, Lim Chin Fook berkata, pelajar perempuan terbabit terjatuh dari tingkat empat dan menembusi bumbung koridor (awning).

Katanya, pihak sekolah percaya bahawa disebabkan adanya bumbung tersebut, mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang ketara.

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah tetap bimbang kemungkinan mangsa mengalami kecederaan dalaman dan perkara ini masih perlu menunggu laporan perubatan.

“Semasa kejadian, seorang guru dan beberapa orang pelajar sedang lalu di kawasan tersebut dan menyaksikan sendiri insiden berkenaan.

“Kemalangan itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma dan memerlukan sesi kaunseling psikologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Hadzrat Hussien berkata, siasatan awal mendapati kejadian jatuh bangunan tersebut tiada unsur-unsur buli dikesan.

“Setakat ini, siasatan tidak melibatkan apa-apa kesalahan jenayah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast