JOHOR BAHRU – Seorang pekerja stor di Singapura maut semasa menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Kilometer 1.5 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.
Difahamkan Muhammad Nazrul Fahmi Abd Rahman yang berusia 27 tahun dalam perjalanan ke republik tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 8 pagi melibatkan dua buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati semasa kemalangan keadaan permukaan jalan basah akibat cuaca hujan dan lalu lintas sedikit perlahan. Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha 135lc ditunggang lelaki tempatan, 27, bekerja sebagai juruteknik di sebuah kedai penggilap kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala serta patah kaki kiri.
Katanya, mangsa dipercayai tercampak dan jatuh dari jejambat ke bawah Lebuhraya Pasir Gudang.
Sementara penunggang motosikal kedua pula katanya, mengalami luka besar di muka, patah tangan kiri serta luka kecil pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo 014-8861791.
Boleh juga hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD( Johor Bahru Selatan.- MalaysiaGazette
















