MUAR – Seorang jurusolek wanita berputih mata selepas wang simpanan RM225,020 lesap akibat diperdaya kenalan dari China sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak polis menerima laporan mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan seorang mendakwa ditipu individu melalui panggilan telefon.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun berkenalan dengan seorang lelaki semasa melancong ke Zhangjiajie, China pada Mac 2025.
“Selepas itu, mangsa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 17 peratus dalam tempoh lima hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan dan dipujuk untuk membuat pelaburan bagi mendapatkan keuntungan.
“Akibat mempercayai tawaran tersebut, pengadu telah membuat 11 transaksi ke sembilan akaun bank berlainan dalam tempoh Mac hingga Jun 2026 melibatkan jumlah keseluruhan RM225,020,” katanya.
Tambah Raiz, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila gagal menerima pulangan yang dijanjikan dan aplikasi berkenaan tidak lagi dapat di akses.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.
Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian semak mule menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.- MalaysiaGazette
















