PENGERANG – Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan memohon peruntukan dalam belanjawan tahun depan bagi memperluas penubuhan pejabat satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif pejabat satelit yang bertindak sebagai cawangan itu amat penting berikutan kekangan jarak yang dihadapi sebahagian masyarakat untuk ke pejabat negeri.
“Usaha ini bertujuan memastikan golongan rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar dan jauh tidak terlepas daripada menerima perlindungan serta bantuan undang-undang yang sewajarnya.
“Kita tahu bahawa pejabat negeri itu ada yang 80 kilometer jauh. Saya maklumkan dalam ucapan saya bahawa bila bercakap tentang bantuan guaman, kita mesti memberikan perlindungan kepada rakyat supaya mereka mengetahui mereka ada hak untuk mendapat bantuan guaman,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman Pengerang Johor di Mahkamah Pengerang, di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, penubuhan pejabat satelit itu akan diintegrasikan bersama perkhidmatan bantuan guaman bergerak, Kembara Justice On Wheels (JOW) sedia ada.
Katanya, kombinasi pejabat satelit dan van bergerak ini membolehkan operasi bantuan masuk lebih jauh ke kawasan kampung serta pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menurut Azalina, perkhidmatan itu akan diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan van bergerak JBG melalui program JOW yang boleh memasuki kawasan kampung dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membawa perkhidmatan bantuan guaman terus kepada rakyat tanpa menunggu mereka hadir ke pejabat JBG.
“Bagi saya, tiada gunanya kita buat pindaan pada Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam kalau rakyat tidak tahu di mana nak minta perlindungan dan juga bantuan.
“Saya juga sedang mengarahkan Ketua Pengarah supaya perkhidmatan ini diberikan di kawasan-kawasan, termasuk kawasan yang diwakili pembangkang juga, jadi kita akan memberikan surat kepada setiap Ahli Parlimen supaya mereka boleh memilih hari yang sesuai mengikut negeri masing-masing,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Azalina berkata, pembukaan Pejabat Satelit JBG Pengerang ialah satu langkah strategik Kerajaan Madani dalam memperkukuh akses kepada keadilan melalui penyampaian perkhidmatan bantuan guaman yang lebih dekat, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Penubuhan pejabat satelit itu, katanya, akan mengurangkan keperluan orang ramai untuk melakukan perjalanan jauh bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
Beliau berkata, penubuhan Pejabat Satelit JBG Pengerang ialah hasil kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor keadilan, khususnya Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Ujarnya, sinergi antara agensi berkaitan membuktikan bahawa usaha memperluas akses kepada keadilan memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Pembukaan Pejabat Satelit JBG Pengerang bakal membawa perkhidmatan bantuan guaman lebih dekat kepada rakyat, selari dengan komitmen Kerajaan Madani dalam mempertingkatkan akses kepada keadilan kerana ia bukan satu keistimewaan tetapi hak setiap rakyat, sekali gus memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada sistem keadilan negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















