Ab Rahaman menunjukkan pasport dan barang yang dirampas daripada suspek, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes tumbuk dan tampar pembantu rumah wanita di kediaman mereka di Taman Johor, Tampoi di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya mengesan empat video tular dalam Facebook berkaitan kejadian seorang wanita yang merupakan pembantu rumah warga asing dipukul dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.

“Bertindak atas maklumat risikan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun, 7.30 petang semalam.

“Turut dirampas daripada suspek adalah telefon bimbit, pakaian suspek, seunit kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport wanita warga asing dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek berkeputusan negatif.

Menurutnya, permohonan reman ke atas semua suspek dibuat bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Johor sini hari ini selama sehari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian dalam video yang tular terbabit dipercayai berlaku pada 26 Julai lalu di Taman Johor dan visual terbabit baru sahaja ditularkan dalam media sosial.

Motif kejadian katanya, masih dalam siasatan dan selain mangsa, polis juga sedang mengesan dua lagi wanita yang juga merupakan pembantu rumah kepada suspek bagi membantu siasatan.

Mereka juga katanya, dipercayai menjadi antara mangsa penderaan suspek serta merakamkan kejadian menimpa seorang pembantu rumah di kediaman sama.

“Kesemua mangsa berusia 20-an dipercayai sudah melarikan diri serta masih berada dalam negara. Polis turut menemukan dua pasport warga asing itu di kediaman majikan,” katanya.

Siasatan katanya, dijalankan bawah peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ab Rahaman berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bagi ugutan jenayah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bagi sesiapa yang menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap mana-mana individu dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan bersifat sumbang, lucah, palsu, mengancam, atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 1 tahun, katanya.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(f) akta passport iaitu menyimpan atau memiliki pasport atau dokumen perjalanan orang lain tanpa sebarang kebenaran atau kuasa yang sah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, polis Johor tidak akan berkompromi dan sentiasa komited dalam menangani isu-isu yang membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan rakyat di Johor.

“Polis Johor juga menyeru orang ramai agar bersama-sama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui talian hotline polis johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999 bagi memastikan usaha membanteras aktiviti jenayah dapat dijayakan bersama,” katanya.

Semalam portal ini melaporkan video empat individu mengasari seorang amah selepas didakwa memukul anak majikannya yang masih kecil tular hingga mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Video terbabit dipercayai dirakam di kediaman majikan mangsa, dengan seorang lelaki dipercayai majikan dilihat menampar, menumbuk wanita itu sehingga kedengaran suara tangisan.

Selain majikan, tiga lagi individu termasuk dua wanita secara bergilir-gilir memarahi sambil sambil meninggikan suara serta memaki mangsa.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast